Hayati Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW..
Bismillahirrahmanirrahim..
Selawat dan salam ke atas baginda SAW...kaum kerabat serta sahabat2 baginda..
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat…insyaAllah..
Alhamdulillah 1 Muharam 1432H akan membuka tirainya. Ini bererti hijrah Rasulullah SAW telah berlalu beberapa abad yg lalu. Walau bagaimanapun ianya tetap menjadi kenangan dan hingga ke hari ini, di mana seluruh umat Islam memperingatinya. Peristiwa ini sememangnya tidak boleh dilupakan kerana hijrah Rasulullah SAW merupakan sejarah agung yang telah membawa perubahan kepada kehidupan umat Islam ketika itu kepada kehidupan yang bertamadun lagi sempurna.
Jika kita kaji dan selidiki hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah itu, kita akan dapati hijrah tersebut telah membawa perubahan yang besar kepada kebangkitan, kemantapan dan perkembangan agama Islam..bahkan hijrah itu sebagai titik permulaan kuasa Islam berkembang dan tersebar ke seluruh dunia. Oleh itu penghayatan di sebalik peristiwa hijrah itu jadikan sebagai pengajaran untuk menjalani kehidupan. Ia adalah sesuatu yang dikehendaki dan dituntut dalam Islam kerana pengajaran dan iktibar dari peristiwa hijrah itulah peninggalan Rasulullah SAW yang amat berharga dan berguna jika dimanfaatkan. Walaupun hijrah Rasulullah SAW tidak akan berlaku lagi di zaman ini tetapi mesej hijrah tetap berterusan sampai bila-bila. Rasulullah SAW telah bersabda yg bermaksud:
Dari Muawiyah r.a. berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Hijrah itu tidak akan terhenti sehinggalah tertutupnya peluang taubat dan peluang taubat itu tidak akan tertutup sehinggalah matahari terbit dari tempat terbenamnya.''
Dari hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa hijrah itu akan terus berlaku dalam kehidupan umat Islam. Hijrah dalam erti kata meninggalkan segala perbuatan yang ditegah dan diharamkan menuju ke arah kehidupan yang lebih baik dan sempurna dan mendapat keredhaan Allah SWT. Hijrah seperti inilah yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Muddatstsir ayat 5 mafhumNya:
"Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi."
Sabda Rasulullah SAW yg bermaksud:
Dari Abdullah bin Amru r.a dari Nabi SAW bersabda: "Dan orang yang berhijrah itu adalah barangsiapa yang berhijrah dari apa yang dilarang oleh Allah SWT."
Dalam memperingati hijrah ini apa yang perlu bagi kita umat Islam ialah membetulkan hala tuju niat, di mana segala peribadatan dan perjuangan hidup hendaklah semata-mata kerana Allah SWT, bukan kerana sesuatu atau dengan kata lain disebabkan masalah keduniaan dan sifat kepura-puraan. Ingatlah...dengan niat yang ikhlas kerana Allah sahajalah penentu amalan diterima Allah SWT. Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW seperti mana sabda baginda yang bermaksud:
Dari Umar bin Khattab r.a berkata: "Aku mendengar bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan dengan niat. Sesungguhnya balasan bagi setiap orang itu mengikut apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kerana untuk mendapatkan dunia maka ia akan memperolehinya dan barangsiapa berhijrah untuk mendapatkan wanita maka ia akan mengahwininya. Balasan hijrahnya mengikut apa yang diniatkan kepadanya."
Oleh itu, sebagai langkah ke arah meningkatkan ketakwaan dan keimanan kita kepada Allah SWT, maka sewajarnya kita membuat penilaian terhadap apa jua yang kita lakukan, apakah amalan dan perbuatan kita selama ini disertai dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Niat biarlah betul dan tulus dan janganlah niat itu disertai dengan riak, janganlah hidup berpura-pura jika mahu apa yang dimaksudkan tercapai dan diperkenankan Allah SWT. Ingatlah, bahawa Allah SWT mengetahui segala apa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya. Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 16 mafhumNya:
"Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan."
Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masyarakat kita pada hari ini sentiasa memperingati ketibaan Awal Tahun Hijrah dengan mengadakan Majlis Ilmu seperti forum-forum, ceramah dan bermacam-macam lagi acara keagamaan. Inilah peluang bagi kita untuk menghayati dan mengambil ikhtibar terhadap peristiwa hijrah dan semoga dengan meraikan dan membesarkan peristiwa bersejarah ini, ianya akan tetap segar sampai bila-bila dan diketahui oleh semua generasi, khususnya generasi akan datang...bahawa hijrah Rasulullah SAW itu sebagai catatan sejarah dalam tamadun Islam.
Umat Islam perlu sedar dan menjadikan iktibar bahawa nilai pengorbanan diri, keluarga, harta dan tanah air yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat itu amat tinggi dan semuanya itu dilakukan semata-mata ikhlas dan taat kepada Allah SWT. Dan sesungguhnya peristiwa hijrah itu telah menguji keimanan mereka. Hasil jihad yang dilakukan dan kesabaran yang mereka miliki itu telah mendapat ganjaran di sisi Allah SWT . Firman Allah dalam Surah Al-Anfaal ayat 74 mafhumNya:
"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah untuk membela Islam dan orang-orang ansar yang memberi kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Islam berhijrah itu, merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia."
Justeru itu adalah tidak memadai dengan hanya mengadakan majlis untuk memperingati hijrah jika tidak ada kesedaran untuk meningkatkan ketakwaan dan ketaatan kepada Allah SWT...tiada kesanggupan untuk berjihad, berkorban dan bersabar. Berapa ramaikah yang sanggup berkorban pada jalan Allah dengan harta, masa dan tenaga untuk membantu orang-orang lain...? cuba kita renungkan kembali..
Sememangnya amat berat untuk mengikuti hijrah Rasulullah SAW kerana hijrah baginda dalam ruang lingkup yang luas yang di antaranya tidak mungkin dapat dilakukan oleh manusia seperti kita.
Tetapi apakah kita umat Islam sekarang tidak sanggup berkorban pada jalan Allah bagi manfaat orang lain sebagaimana kita berkorban untuk saudara dan keluarga kita.
Maka di sinilah peluang penghayatan hijrah pada diri seseorang jika mahu mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik dan sempurna dan beroleh keredhaan Allah SWT.
Oleh itu hayatilah pengajaran-pengajaran yang diperolehi daripada peristiwa hijrah itu. Jadikan ia sebagai wasilah dan landasan ke arah maksud hijrah yang sebenar...iaitu peribadatan dan amalan yang membawa kebaikan dan kesempurnaan hidup baik semasa berada di dunia mahupun apabila di akhirat kelak. Akhirnya melalui hijrah ini marilah kita sama-sama muhasabah diri...bertaubat dan memohon maghfirah dari segala dosa-dosa yang kita lakukan selama ini. Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 20 mafhumNya:
"Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang-orang memakmurkan masjid sahaja dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."
Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah!
No comments:
Post a Comment